Thursday, August 27, 2015

Tarian Kehidupan


Menari dalam kesunyian
Rutin aku yang tidak terabaikan
Rentak dan irama yang aku alun sendiri
Tanpa menurut detik terbahagi
Bebas rasa ini melayang
Seperti selendang terbang ditiup angin lintang
Yang digayakan aku
Si penari tempang.

Thursday, August 20, 2015

Aku Ini Terbuang

Yang kau tahu perihal aku
Hanya sisi hitam penuh liku
Berulat dan membusuk
Kau terusan melempar
Kata nista penuh kusyuk
Dan setiap busuk jijik aku
Kau malah tabur najis tanpa silu
Mencorak dengan penuh galak
Hancur hati ini kau koyak, rabak.

Dan untuk setiap perit sakit ini
Tidak pernah lekang bibir memohon simpati
Pegangku pada tangan menghulur
Senyumku pada mulut menegur.

Biar
Aku cuma sampah yang sepah
Diabai disepak tiada hala
Bertebaran terbang
Mencari arah yang hilang
Biar
Aku ini terbuang.

MJ

Wednesday, August 19, 2015

Keluarga Usang


30 tahun dahulu rumah itu masih teguh
Dijaga rapi halamannya penuh seni
Dihias indah dalamannya penuh gah
Dihuni keluarga wataknya penuh cinta
Sarat rumah itu dengan debunga bahagia.

20 tahun dahulu rumah itu sudah goyang
Tiangnya satu telah hilang dimamah tanah yang bergoncang
Tiang lainnya makin lemah
Menanti saat jatuh rebah
Penghuni rumah itu semakin pilu
Bimbang, juga buntu
Fikir mereka mahu ke daerah baru
Namun
Wang saku tidak berjuta beribu
Tetaplah penghuni rumah itu
Menjalani tiap liku dalam arus waktu yang sering cemburu.

10 tahun dahulu rumah itu terus ranap
Satu-satu tiangnya ditiup badai yang datang sekejap-sekejap
Namun kesannya tertinggal tetap
Kini yang bersisa cuma tangga
Tangga yang masih kukuh langsung tidak ampuh
Tangga yang masih setia langsung tidak bergerak seincinya
Tangga yang menjadi tugu cinta sekaliannya isinya

Dan hari ini
Terlihat tiang baru terpacak tegak
Menjunjung gah sebuah teratak indah
Persis 30 tahun dahulu
Dan pastinya memainkan cerita sama
Cuma beza warna dan watak tiangnya
Serta tangga cinta agungnya.

Rumah itu
Perihal sebuah keluarga yang bahagia
Dihiasi tiang ahlinya
Disokong tangga generasinya
Buat menghidupkan
Rumah lama yang telah tiada penghuninya
Tetap juga ceritanya masih ada.

MurniJamirun
Ogos 2015